PERANAN MASJID
Masjid - berasal daripada perkataan arab "masjid" atau "masjad". Dari segi bahasa ia bererti tempat sujud- digunakan sebagai tempat kita melakukan solat.
Sujud bererti patuh dalam kategori nya yang tinggi sampai kepada tahap pengabdian. Kerana itulah "solat" disebut sebagai ibadat, iaitu suatu cara yang tertentu bagi melambangkan kepatuhan dan pengabdian seseorang muslim kepada Allah. Maka nya masjid itu memberi erti tempat umat Islam melakukan aktiviti bagi melambangkan kepatuhan dan pengabdiannya kepada Allah. Dalam pengertian lain, masjid adalah lambang kepada kepatuhan dan pengabdian umat Islam kepada Allah s.w.t. Masjid berperanan sebagai pusat komuniti di mana masyarakat berkumpul bagi tujuan ibadat, iaitu pengabdian kepada Allah s.w.t. Bagi tujuan tersebut, berbagai-bagai program sentiasa diadakan . Dalam satu istilah, program-program ini biasa disebut sebagai "ta'mir" yang bermaksud "pengisian", iaitu mengisi wadah berkenaan dengan berbagai aktiviti yang boleh menjayakan fungsi nya yang telah ditetapkan.Nyatalah bahawa masjid itu berperanan sebagai pusat ibadat. Masjid boleh menerima apa saja program yang bertujuan baik bagi faedah umat manusia, asalkan saja bertujuan untuk merialisasikan kepatuhan kepada Allah s.w.t.
Masjid perlu bersih daripada sebarang idea kotor yang bertentangan dengan semangat kesucian agama Islam sendiri, misalnya permusuhan terhadap sesiapa, rebutan kuasa di kalangan ahli masjid itu sendiri, penggunaan masjid untuk mencari faedah selain daripada keredhaan Allah s.w.t dan sebagainya. Sementara secara moral nya pula perlu ada semangat yang tinggi di kalangan para petugas untuk melayan para jemaah sebagai tetamu Allah.
Yang paling utama sekali dari perspektif ini ialah masjid perlu melambangkan perpaduan ummah bagi semua peringkat. Satu keperluan lain di bawah dasar ini ialah masjid perlu bebas daripada apa saja sifat dan aktiviti yang memecahkan perpaduan ummah. Antara contoh nya ialah perlu tidak ada unsur monopoli dalam pentadbiran atau usaha mengimarahkannya . Satu contoh lain ialah ia perlu bebas daripada politik kepartian. Satu keperluan lain bagi mendokong peranan ini ialah masjid perlu mengambil daya usaha dalam proses pembinaan sosial kearah mencapai keredaan Allah. Satu contoh lain bagi pelaksanaan peranan masjid dalam proses sosialisasi masyarakat ini ialah usaha menyediakan kemudahan pelajaran, sukan , rekriasi dan sebagai nya kepada generasi muda sebagai satu program serampang dua mata; bagi faedah anak-anak muda itu sendiri supaya lebih maju dan bagi faedah masjid juga supaya lebih menjadi pusat aktiviti.